mutakhir

Tiga manifesto Siew Ki [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Hidir Reduan

MENANGANI isu banjir kilat dan kesesakan jalan raya antara intipati tiga manifesto Calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki dalam meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, 8 September depan.

Menurutnya, bagi janji pertama, beliau akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan infrastruktur kawasan dapat dipertingkatkan bagi menyelesaikan permasalahan tempatan seperti kesesakan trafik dan krisisi air (banjir).

Katanya, kerjasama itu membabitkan projek yang sedang dijalankan seperti menaik taraf dan memperindah tebing Sungai Balak di Kampung Baru Balakong mengatasi masalah banjir kilat.

"Kita juga akan mewujudkan kemudahan rekreasi bagi penduduk di Kampung Baru serta menaik taraf dan melebarkan Jalan Balakong-Batu 11 bagi mengatasi kesesakan trafik.

"Selain itu, longkang di Taman Midah juga akan dinaik taraf bagi mengelak masalah banjir kilat di kawasan itu," katanya selepas melancarkan manifesto PH di Bangi, hari ini.

Siew Ki berkata, tiada istilah 'one man show' diamalkannya sebaliknya beliau akan bekerjasama rapat dengan ahli majlis dalam PBT untuk menangani permasalahan rakyat.

"Saya juga akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Kajang untuk melebarkan simpang antara Bandar Tun Hussien Onn dan Lebuhraya Grand Saga," katanya.

Bagi manifesto kedua dan ketiga, Siew Ki berjanji akan mengukuhkan pembangunan komuniti dengan mengeratkan kerjasama sesama komuniti serta komuniti dengan kerajaan dan Menggalakkan aktiviti kemasyarakatan, mewujudkan identiti Kampung Baru.

"Bagi mengukuhkan pembangunan komuniti, saya akan bekerjasama dengan ahli majlis untuk memperkasa Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

"Sebelum ini MPP ini sudah ada, tapi peranannya tidak diperkasa. Ahli hadir mesyuarat tapi tiada banyak program dibuat.

"Jadi kita akan perbanyakkan lagi aktiviti yang bersesuaian khususnya untuk golongan muda dan wanita bagi membentu komuniti yang mesra dan rapat," katanya.

Sementara itu, katanya bagi manifesto ketiga, beliau akan menambah program kebudayaan dan sejarah mengangkat identiti Balakong.

" Antara yang penting, Pesta Balakong yang diwujudkan pada 2014 akan dijenamakan semula dan dipelbagaikan aktivitinya bagi masyarakat setempat dan tarikan pelancongan," katanya.

INFO MANIFESTO

1. Akan bekerjasama dengan PBT bagi memastikan infrastruktur kawasan dapat dipertingkatkan bagi menyelesaikan permasalahan tempatan seperti kesesakan trafik dan banjir.

2. Mengukuhkan pembangunan komuniti dengan mengeratkan kerjasama sesama komuniti serta komuniti dengan kerajaan.

3. Menggalakkan aktiviti kemasyarakatan, mewujudkan identiti Kampung Baru.

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 9:06pm
d