mutakhir

Tiga dicekup pukul penarik kereta

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menahan tiga lelaki berusia 30 hingga 33 tahun dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan membabitkan seorang penarik kereta di Cheras, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tiga lelaki berkenaan ditahan di kawasan Putrajaya pada jam 12.10 tengah malam.

“Insiden seorang lelaki yang juga penarik kereta dipukul tiga lelaki berkenaan tular di media sosial kelmarin.

“Tiga lelaki berkenaan datang menggunakan kereta Proto Preve dan berpakaian separuh uniform,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, siasatan mendapati tiga lelaki berkenaan bukan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti yang ditularkan.

“Semakan ke atas kereta berkenaan turut disahkan bukan milik agensi PDRM.

“Polis meminta kerjasama orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber yang sahih dan tepat daripada polis,”katanya.

Katanya, semua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun polis akan sentiasa memastikan bahawa sebarang salah laku di kalangan warganya akan diambil tindakan sewajarnya.

“Pihak Polis juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada terhadap sesiapa yang dilihat berniat jahat mencemarkan imej PDRM,” katanya.

Kelmarin, video berdurasi lima minit tular di media sosial mendakwa tiga lelaki berkenaan menyamar sebagai polis sebelum memukul penarik kereta berkenaan.

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 9:39pm
d