mutakhir

Lembu korban jatuh longkang

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

ANGGOTA bomba menyelamatkan lembu korban yang terperangkap dalam longkang berhampiran Taman Sekinchan Jaya, Sekinchan, semalam.

Dalam kejadian kira kira 4 petang itu, haiwan berwarna hitam itu terjatuh ke dalam longkang sedalam satu meter.

Difahamkan, lembu berkenaan dibawa pembekal sekitar pekan ini bagi tujuan Hari Raya Aidiladha dan ditambat sekitar kawasan itu, hari yang sama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan Mohd Khairul Anuar Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam 4.16 petang.

"Sepasukan 10 anggota bersama jentera dan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian dan tindakan menyelamat haiwan itu dilakukan," katanya.

Beliau berkata, operasi mengambil masa kira kira 10 minit dengan bantuan orang awam mengeluarkan haiwan itu menggunakan kanvas.

Menurutnya, lembu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun masih agresif sebelum berjaya ditenangkan.

Operasi itu tamat 4.46 petang.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 10:35am
d