mutakhir

Patuhi peraturan ketika berkempen

Oleh HM Digital

Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan semua pihak yang terbabit dalam berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan DUN Seri Setia supaya mematuhi semua undang-undang dan etika berkempen.

Ahli Suruhanjaya SPR Datuk Md Yusop Mansor berkata, mereka perlu mematuhi undang-undang sepanjang tempoh rasmi kempen pilihan raya selama 21 hari bermula dari Hari Penamaan Calon sehingga jam 11.59 malam, 7 September.

“SPR menyeru setiap calon atau parti politik bertanding tidak melaksanakan aktiviti kempen seperti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan serta mengadakan aktiviti kempen
berunsur perkauman
dan menyentuh sensitiviti agama.

“Jika aktiviti kempen sedemikian berlaku, tindakan boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan pilihan raya berjalan dengan aman, harmoni serta tidak menimbulkan kekeliruan kepada pengundi di kedua-dua PRK, semua pihak termasuk pemimpin parti politik, calon dan penyokong parti politik diminta mematuhi undang-undang, peraturan dan arahan SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pihak berkuasa lain.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 11:27am
d