mutakhir

Bayar hutang 'rumah halimunan'

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: “Saya bukan orang senang, cuma mengimpikan kediaman sendiri untuk keluarga berteduh namun malang menimpa apabila ditipu pula pihak tidak bertanggungjawab,” kata Sukimi Salleh, 45, seorang daripada puluhan mangsa projek perumahan tidak wujud di Pulau Indah, Klang sejak 14 tahun lalu.

Lebih memburukkan keadaan Sukimi yang berasal dari Besut, Terengganu kini berhadapan pula masalah disenarai hitam bank gara-gara gagal membayar tunggakan bulanan berjumlah RM580 sebulan sejak 2010.

Sukimi berkata, dia tertarik dengan iklan jualan rumah ejen syarikat hartanah itu pada 2004 yang menjual unit apartmen tiga bilik dan dua bilik air di Pulau Indah dengan harga RM100,000.

“Ketika itu tidak mempunyai kediaman sendiri menyebabkan saya membeli apartmen itu yang dijual dengan harga berpatutan selain berhampiran dengan tempat kerja.

“Saya tidaklah mengambil keputusan terburu-buru kerana pergi ke tapak projek dan melihat papan tanda yang dimaksudkan ejen hartanah itu selain membuat semakan berkaitan rekod pemaju itu,” katanya.

Menurutnya, dia membuat pembayaran pendahuluan bagi menempah satu unit apartmen dan pemaju dikatakan menguruskan pinjaman serta pembayaran kepada peguam.

“Dalam tempoh dua bulan, ejen bank datang ke rumah saya untuk menguruskan dokumen pinjaman perumahan tanpa perlu ke pejabatnya.

“Lebih mengelirukan saya tidak mendapat panggilan daripada pemaju atau institusi kewangan terbabit selain tidak menerima apa jua surat.

“Keadaan itu menyebabkan saya terus ke tapak projek itu dan melihat tiada kerja pembinaan dilakukan dan apabila menghubungi pemaju, mereka memberi alasan ada kelewatan kerana mempunyai masalah,” katanya.

Dia yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta dan bergaji RM2,300 sebulan mengesyaki mula menjadi mangsa penipuan apabila pejabat syarikat pemaju ditutup malah usaha menghubungi mereka gagal.

“Masalah itu berlanjutan hingga tempoh dua tahun dan lebih mengejutkan secara tiba-tiba saya menerima surat daripada bank supaya membayar ansuran bulanan RM580 untuk pinjaman perumahan berjumlah RM100,000,” katanya.

Bapa empat anak berusia satu hingga 14 tahun itu berkata, dia berbincang dengan bank bagi mencari jalan penyelesaian kerana projek apartmen terbabit tidak wujud serta pemaju menghilangkan diri.

“Tunggakan itu berlarutan hingga kini dan jumlah keseluruhan mencecah RM70,000 dan bank meminta supaya menjelaskannya bagi mengelak dikenakan tindakan mahkamah.

“Saya bagaikan hilang arah kerana 10 tahun hidup dalam keadaan nama disenaraihitam dan kini bank mahu pula ambil tindakan mahkamah.

“Sepatutnya bank menyerahkan wang kepada pemaju berdasarkan peratusan siapnya projek terbabit dan bukannya memberikan sekali gus yang akhirnya pembeli terpaksa menanggung kerugian apabila projek tergendala,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia Rosland Mohd Arif berkata, pihaknya menerima lima kes berkaitan masalah membabitkan institusi kewangan meluluskan pinjaman sebelum menyerahkan wang terbabit kepada pemaju walaupun projek berkenaan sebenarnya tiada.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 12:00pm
d