mutakhir

Nenek 70 tahun kerah keringat ke laut

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Port Dickson: Walaupun dimamah usia, Indun Sainuddin, 70, tidak pernah mengalah dan mengerah kudrat dalam mencari rezeki sebagai nelayan bagi menyara hidup sejak kematian suaminya setahun lalu.

Sejak suaminya meninggal dunia, Indun hidup bersendirian di rumahnya di tepi jeti Pengkalan Nelayan Sungai Rambai, Chuah, dekat sini.

“Rumah ini dahulunya kosong dan saya membuat sendiri katil, almari dan beberapa perabot lain menggunakan kayu dibuang kawasan pembuangan sampah.

“Walaupun tidak mempunyai kemahiran namun saya mencubanya kerana tidak mampu membeli barangan berkenaan,” katanya yang berstatus permastautin.

Menurut Indun, untuk menambah pendapatan dia menjadi nelayan dengan mengikut nelayan sekitar turun ke laut.

“Namun sejak kebelakangan ini hasil tangkapan terlalu kurang dan kadang-kadang tidak berbaloi selepas ditolak dengan kos bahan api. Sering juga kami pulang tangan kosong,” katanya yang turut membela 12 ekor kucing sebagai peneman kesunyiannya.

Indun bagaimanapun bersyukur kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberinya bantuan bulanan RM350 selain Baitulmal RM250.

“Pemberian berkenaan secara langsung dapat meringankan beban saya untuk membayar bil utiliti dan menampung perbelanjaan harian.

“Selagi kudrat saya masih mampu, saya akan mencari rezeki sendiri kerana tidak mahu meminta-minta daripada orang. Cuma bimbang siapa yang akan jaga jika suatu hari nanti saya sakit,” katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 12:08pm
d