mutakhir

Jimat masa, jimat tenaga

Oleh Hafizudin Mohd Safar

PROSES menyembelih seekor lembu hanya mengambil masa lima minit sahaja dengan bantuan inovasi sangkar sembelihan mudah alih dalam majlis ibadat korban di Surau Al-Hidayah di Kampung Padang Kota, Kangar, hari ini.

Sangkar sembelihan terbabit dihasilkan Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Raudhah Kampung Sungai Batu Pahat, tidak jauh dari Kampung Padang Kota, di sini.

Imam Masjid Ar-Raudhah, Amir Aziz yang mengetuai proses sembelihan berkata, sangkar terbabit dihasilkan untuk mengatasi beberapa masalah utama dalam proses sembelihan selain menjimatkan masa.

"Antara masalah utama ketika proses menyembelih ialah keselamatan petugas, justeru dengan menggunakan sangkar mudah alih, sebarang risiko terhadap petugas dapat dikurangkan.

"Selain itu, proses merebahkan haiwan untuk disembelih juga dapat dimudahkan walaupun saiz haiwan terbabit besar selain tidak memerlukan bilangan petugas yang ramai," katanya.

Menurut Amir, pihaknya menyembelih lima ekor lembu sebelum diserah kepada ahli kariah kampung Padang Kota untuk proses melapah dan mengagihkan daging yang diketuai Imam Surau Al-Hidayah Kampung Padang Kota, Faryzal Abdul Razak.

"Kami juga sedia menerima jemputan untuk membawa sangkar sembelihan mudah alih itu dan melaksanakan proses menyembelih haiwan khasnya untuk ibadat korban sekiranya mendapat permintaan pada kos yang boleh dirundingkan.

"Setiap tahun pihak Masjid Ar-Raudhah turut melaksanakan ibadat korban secara besar besaran di perkarangan masjid terbabit dengan menggunakan satu lagi sangkar sembelihan yang dikuasakan dengan bantuan hidrolik dan dijangka akan menguruskan sembilan ekor lembu untuk tahun ini," katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 12:13pm
d