mutakhir

Pindah hati secepat mungkin

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: “Dia perlu menjalani pembedahan pemindahan hati secepat mungkin sebelum keadaannya menjadi semakin kritikal.

“Bagaimanapun, sehingga kini wang diperlukan sebanyak RM250,000 bagi pembedahan yang dilaksanakan di India belum mencukupi. Kami buntu memikirkan perkara ini,” kata Mohd Talhin Jamal Abdul Nasir, 33, bapa Muhammad Ammar, 20 bulan, yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati atau biliary atresia.

Mohd Talhin berkata, dia bersama isteri, Khairul Najihah Muhammad Helmi, 32, sedang berusaha sedaya upaya bagi mencari dana untuk pembedahan anak bongsunya itu.

“Keadaan Ammar masih aktif, dia baru dibawa keluar dari wad selepas ditahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat demam, minggu lalu.

“Doktor memaklumkan Ammar perlu menjalani pembedahan pemindahan hati secepat mungkin, tetapi kami masih tidak dapat mengesahkan tarikh pembedahan kerana kos diperlukan masih tidak mencukupi.

“Namun kami masih berusaha mencukupkan wang bagi kos pembedahan itu selain menyelesaikan segala urusan untuk memudahkan proses perjalanan ke sana termasuk memohon visa dari Kedutaan India di Kuala Lumpur, hari ini (semalam),” katanya.

Pada 13 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan Mohd Talhin sanggup mengorbankan sebahagian hatinya untuk Ammar bagi memastikan anaknya itu dapat meneruskan kehidupan.

Ammar disahkan menghidap biliary atresia sejak berusia 10 hari dan dia pernah menjalani pembedahan bagi membuang hempedu dan salur hempedu yang tidak berfungsi ketika berusia 79 hari pada Mac tahun lalu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank milik Mohd Talhin, 161024509448.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 12:21pm
d