mutakhir

Tutup ruang udara sempena Hari Kebangsaan

Oleh Nur Aqidah Azizi

PENUTUPAN ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 secara berjadual akhir bulan ini terpaksa dilakukan bagi memberi laluan kepada pertunjukan sempena sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan di Putrajaya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keadaan itu berlaku kerana Putrajaya berkongsi ruang udara yang sama dengan KLIA dan klia2.

"Kita perlu menutup ruang udara ini selama satu setengah jam setiap pagi pada tarikh yang ditetapkan bagi memberi laluan kepada latihan (dan pertunjukan) penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena sambutan Hari Kebangsaan.

"Penutupan ruang udara bagi sambutan Hari Kebangsaan bukan kali pertama dilakukan, ia pernah dilakukan ketika Putrajaya menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan sebelum ini. Jadi, saya berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Serahan Jalur Gemilang di Seremban, hari ini.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam satu kenyataan media semalam, mengumumkan penutupan sementara ruang udara berkenaan bermula 9 hingga 10.30 pagi, berkuat kuasa dari 27 hingga 31 Ogos.

Anthony berkata, syarikat penerbangan komersial turut diminta memaklumkan kepada penumpang mereka seawal yang mungkin berhubung pindaan jadual penerbangan susulan penutupan ruang udara itu bagi memudahkan penumpang merancang semula perjalanan.

Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, kerajaan sudah mengenal pasti kaedah baharu bagi pengendalian Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

“Saya akan adakan perjumpaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membincangkan kaedah terbaik dalam pengendalian AES dan perkembangannya akan dimaklumkan tidak lama lagi,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dua syarikat konsensi pengendali sistem AES yang tamat pada 31 Ogos iaitu ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pembatalan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Anthony berkata, kerajaan akan menambah baik landasan kereta api sedia ada bagi memastikan jaringan pengangkutan ke Pantai Timur lebih efektif.

"Biarpun projek itu dibatalkan, kita mahu memberi jaminan penduduk di Pantai Timur tidak akan diabaikan," katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 1:13pm
d