mutakhir

Tragedi pagi Aidiladha

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

“LETUPAN itu berlaku ketika ibu mentua sedang menggoreng ayam untuk membuat lauk nasi minyak sebelum api merebak dalam masa lima minit saja."

Kata Hairullah Razali, 28, menantu kepada Zainun Abdul Rahman, 60, yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah keluarga mentuanya di Tanjung Api, Kuantan, terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, Zainun bersama suamimya Jusoh Mohamad, 60, kerugian hampir RM100,000 selepas gagal menyelamatkan barangan berharga termasuk dokumen penting.

Menceritakan detik cemas itu, Hairullah berkata, api merebak dengan pantas sebaik berlaku satu letupan dari arah dapur rumah sebelum dia bergegas mengejutkan ahli keluarganya untuk menyelamatkan diri.

Katanya, dia gagal menyelamatkan barangan berharga termasuk pakaian raya yang hendak dipakai pada pagi Aidiladha ini.

"Semua pakaian raya musnah dalam kebakaran ini, tidak sempat kami selamatkan... apatah lagi juadah untuk tetamu yang dimasak juga hangus.

"Saya sedih apabila mengenang nasib keluarga mentua di pagi Aidiladha yang terpaksa tinggal sehelai sepinggang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Sementara itu, anak kedua Zainun, Juliana Jusoh, 38, memaklumkan dia terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Saya baru hendak menikmati juadah yang disediakan ibu, namun semuanya sudah hangus.

"Saya terima hakikat dan reda dengan kejadian ini serta menganggapnya ujian Allah SWT," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan berkata, tiga jentera bersama 20 anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada keluarga mangsa pada 5.15 pagi.

"Kita mendapati api sedang marak dan kebakaran itu berjaya dikawal setengah jam kemudian sekali gus dapat mengelak daripada merebak ke rumah berhampiran," katanya.

Menurutnya, pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 1:17pm
d