mutakhir

[UPDATE] Seorang dah ditangkap

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

SEORANG daripada 15 lelaki yang merusuh selepas kemalangan kecil berhampiran restoran di Uptown Avenue, Seremban 2, kelmarin ditahan polis, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan di lokasi di bandar ini pada 7.45 malam.

“Lelaki berkenaan direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana merusuh serta khianat.

“Kita sedang mengenal pasti identiti 14 lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam rusuhan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di Seremban, hari ini.

NSTP hari ini melaporkan, 15 lelaki merusuh hingga merosakkan pelbagai barangan di sebuah restoran di Uptown Avenue, Seremban 2, akibat tidak berpuas hati dengan satu kemalangan kecil di kawasan berkenaan.

Kejadian 1.15 pagi itu berlaku ketika lelaki berusia 31 tahun yang memandu sebuah kereta Volkswagen dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Sebaik tiba di kawasan restoran berkenaan, sebuah kenderaan pacuan empat roda Range Rover dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian hadapan Volkswagen itu.

Akibat tidak berpuas hati, beberapa lelaki yang menaiki Range Rover berkenaan dan sebuah lagi kereta Mercedes Benz menyerang pemandu Volkswagen menggunakan kayu serta besi.

Mereka turut dilaporkan bertindak merosakkan kerusi, meja, pinggan dan barangan lain di restoran terbabit selepas pemilik premis meminta mereka supaya tidak bergaduh dan membuat bising.

Berita berkaitan:

Kau yang langgar, kau yang serang? [METROTV]

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 4:35pm
d