mutakhir

'Main ugut bakar rumah pula'

Oleh Zatul IffahZolkiply

SEORANG lelaki boleh dianggap gila talak apabila mengugut mahu membakar rumah bekas isterinya, gara-gara wanita itu enggan tinggal bersamanya.

Dalam kejadian 9.30 malam di Kampung Paloh Sungai Kiat, Kuala Terengganu, Sabtu lalu, suspek berusia 40 tahun yang bersenjatakan pisau, turut merosakkan barangan yang ada di sekeliling rumah terbabit.

Dia mencabut nombor plat kereta dan menendang pintu rumah bertujuan menakutkan mangsa, selain mahu wanita itu keluar.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 40 tahun berada di rumah keluarganya, sebelum didatangi suspek yang sedang berang.

Beliau berkata, suspek dengan tidak semena-mena memarahi mangsa kerana keluar dari rumahnya dan mahu wanita itu kembali bersamanya, sedangkan mereka sudah lama bercerai.

“Bengang mangsa tidak menurut arahannya, suspek mula mengamuk dan merosakkan barangan yang ada menyebabkan mangsa serta ahli keluarganya yang lain ketakutan.

“Malah, suspek yang juga penagih dadah baru sahaja dibebaskan dari penjara. Mangsa yang bimbang kejadian buruk berlaku kemudian membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut,” katanya.

Idris berkata, susulan laporan dibuat mangsa, suspek ditahan polis di rumah di kampung sama, 11.40 pagi semalam.

Katanya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 6:06pm
d