mutakhir

Chee Teong bantu lapah lembu korban

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

KESIBUKAN berkempen tidak menghalang calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Tan Chee Teong, untuk meraikan sambutan Aidiladha bersama penduduk Taman Sri Cheras, Batu 10.

Chee Teong sebelum itu mengadakan jelajah 'walkabout' di sekitar Taman Megah mengambil kesempatan singgah di Masjid Nurul Ihsan, yang kebetulan sedang mengadakan program ibadah korban.

Menurut Chee Teong, sambutan perayaan di Malaysia diraikan oleh pelbagai kaum dan sebagai calon yang akan bertanding pada PRK, 8 September depan, kesempatan itu digunakan dengan sebaiknya untuk mendekatkan diri dengan masyarakat terutama pengundi Melayu.

"Kehadiran saya pada pagi ini, bukan untuk berkempen semata-mata sebaliknya mahu bersama-sama meraikan sambutan Aidiladha dengan penduduk setempat

"Ini kerana sebagai masyarakat yang berbilang kaum dan agama, kita bukan sahaja menghormati satu sama lain malah turut meraikan pelbagai perayaan bersama.

"Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua, " katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, dalam kunjungan berkenaan, Chee Teong meluangkan masa hampir 40 minit beramah mesra dengan orang ramai selain turut sama membantu melapah lembu korban.

Pengerusi Masjid Nurul Ihsan, Ezzaldin Yahya, berkata, pihaknya terkejut dengan kunjungan Chee Teong dan tidak menyangka dia sanggup mengenepikan jaduat padat untuk singgah meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha bersama penduduk.

Kata Ezzaldin, meskipun dalam cuaca yang panas namun Chee Teong tidak kelihatan kekok menolong memegang lembu ketika hendak dikorbankan selain turut membantu melapah daging lembu untuk diagihkan.

"Wakil rakyat terdahulu (mendiang Ng Tien Chee) memang cukup dikenali ramai kerana sering menyertai program bersama penduduk.

"Justeru, kunjungan Chee Teong pada pagi ini bukan sahaja dapat beramah mesra malah membantu memperkenalkan lagi dirinya kepada masyarakat setempat," katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 7:46pm
d