mutakhir

Musa Aman 'kunci mulut'

Oleh Veena Babulal

BEKAS Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, yang ketika ini menerima rawatan di pusat perubatan di Subang Jaya seakan nekad ‘mengunci mulut’ berhubung pelbagai perkara yang menyelubungi dirinya daripada ‘kaca mata’ umum.

Isyarat itu jelas terpancar bersandarkan bilangan pasukan keselamatan yang ditugaskan di perkarangan hospital bagi mengelak sebarang ‘cerita’ atau butiran mengenai susuk pemimpin berusia 67 tahun berkenaan dihidu ‘orang luar.’

Kunjungan Wartawan NSTP di kamarnya yang terletak di bahagian VVIP mendapati semua jururawat bertugas bagi memberikan rawatan terhadap pemimpin itu sentiasa ‘berwaspada’ dengan perkembangan sekeliling, termasuk identiti pelawat keluar masuk.

Seorang jururawat turut mendakwa bilik VVIP terbabit sebenarnya tidak berpenghuni.

Tinjauan mendapati kamar yang menempatkan Musa kelihatan gelap dari luar, namun kelibat seorang lelaki, dipercayai petugas keselamatannya sentiasa berlegar di muka pintu bilik berkenaan.

Pelawat yang bertali arus memasuki perkarangan pusat perubatan terbabit dan memenuhi ruangan lobi juga seakan bertindak ‘mengunci mulut’ setiap kali disapa wartawan.

Mereka enggan memperkenalkan diri, sama ada ahli keluarga atau pembantu Musa, selain menolak untuk ditemubual apabila diajukan soalan oleh wartawan berhubung tahap kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu.

Bagaimanapun, hampir 20 pelawat yang bertutur menggunakan dialek Sabah dilihat sentiasa memenuhi ruangan lobi hospital, termasuk peguam, Amer Hamzah Arshad.

Amer ketika dihubungi pada mulanya enggan mengulas lanjut sama ada kehadirannya sekadar menziarah atau mewakili Musa yang terpalit dengan tindakan tuduhan ugutan jenayah.

Bagaimanapun, menerusi kiriman khidmat pesanan ringkas, Amer menjelaskan kehadirannya di pusat perubatan terbabit sekadar sebagai seorang rakan.

Musa sebelum ini dikehendaki polis berikutan laporan tuduhan ugutan jenayah membabitkan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, susulan kemelut pelantikan Ketua Menteri Sabah yang menyaksikan perebutan ‘takhta’ kerajaan negeri antara blok Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah pasca keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Semalam, Setiausaha Politik Musa, Mohd Joh Widmemuat naik sekeping gambar ADUN Sungai Sibuga itu sambil memaklumkan Musa membuat keputusan kembali ke tanah air walaupun tindakan berkenaan bertentangan nasihat pakar yang merawatnya di Hospital Clementine Chirchill, London, selain perlu dirujuk ke Hospital Mount Elizabeth, di Singapura untuk menerima rawatan susulan.

Musa tiba di Malaysia, semalam dan sebelum ini didakwa melarikan diri ke United Kingdom pada 16 Mei lalu. Beliau bagaimanapun menafikan perkara itu, termasuk dakwaan bahawa cuba melarikan diri daripada berdepan tuduhan difailkan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan keluar negara melalui laluan tidak sah.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 9:06pm
d