mutakhir

Taktik bawa durian

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa negara ini lebih berwaspada terhadap sebarang cubaan sindiket dadah menjadikan lori penuh muatan durian dari negara jiran untuk menyeludup masuk dadah ke negara ini.

Itu antara kebimbangan petugas keselamatan di pusat pemeriksaan di pintu sempadan tanah air susulan musim buah durian melanda di negara jiran selain tindakan mengeksport durian ke Malaysia.

Malah beberapa siri tangkapan dan rampasan dadah berterusan sejak beberapa bulan lalu membuktikan sindiket kian aktif dan tidak berputus asa menyeludup dadah ke Malaysia.

Terbaru, tiga rakyat Malaysia diberkas polis negara jiran di Sadao, Thailand selepas cuba menyeludup 421 kilogram ganja bernilai hampir RM1 juta ke Malaysia, minggu lalu.

Sumber berkata, penyeludupan dadah berasal dari negara jiran menggunakan taktik disembunyikan di dalam lori membawa muatan barangan elektrik, sayur-sayuran atau buah- buahan bukan perkara baru.

“Sebelum ini lori membawa muatan syabu seberat 700 kilogram ke Malaysia ditumpaskan. Siasatan mendapati dadah berkenaan disembunyikan dalam lori berisi penuh buah nanas dan tembikai.

“Sindiket dadah secara kreatif turut mengubah suai kenderaan yang digunakan dalam cubaan menyeludup dengan memasang bahagian rahsia yang sukar dikesan untuk menyimpan dadah bagi perjalanan melintasi sempadan negara,” katanya.

Menurutnya, sindiket dadah membabitkan rakyat Malaysia dikesan bersekongkol dengan dalang sindiket di Myanmar dan Thailand menjalankan misi itu.

“Dalam kejadian 28 Mac lalu, dua suspek warga Malaysia berusia 35 dan 49 tahun ditahan susulan penahanan lelaki Thailand yang memandu lori membawa buah-buahan itu di Pusat Pemeriksaan Chumphon, selatan Thailand,” katanya.

Susulan itu pihak berkuasa negara ini meningkatkan kawalan pemeriksaan di sempadan Malaysia-Thailand sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang usaha pihak sindiket.

Pada 23 Julai lalu, 400 kilogram syabu dan 77 kilogram heroin turut cuba diseludup menggunakan lori ke negara ini melalui pintu sempadan di utara tanah air.

Bagaimanapun semua dadah itu dirampas dan enam suspek warga Malaysia diberkas di Hatyai, Thailand.

Disiarkan pada: August 23, 2018 @ 11:13am
d