mutakhir

Pusing 8 jam cari air terjun

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Gombak: Berpusing-pusing mencari jalan keluar selama hampir lapan jam. Itu nasib dialami empat mangsa termasuk seorang wanita yang tersesat di Hutan Lipur, Sungai Tua di sini.

Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, mangsa dikatakan mula memasuki kawasan hutan itu sekitar jam 10 pagi untuk pergi ke Air Terjun Sungai Pisang sebelum mendakwa tersesat ketika mahu keluar dari kawasan itu.

Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Kapten (PA) Aziana Hizazi berkata, selepas berjalan selama beberapa kilometer, mereka gagal menemui arah untuk ke air terjun berkenaan dan mengambil keputusan untuk keluar.

Bagaimanapun keempat-empat mangsa gagal mencari jalan keluar dan menghubungi talian kecemasan apabila mereka kehilangan arah dituju berikutan hari semakin gelap.

“APM menerima maklumat mengenai empat mangsa yang tersesat itu pada jam 8.30 malam selepas seorang daripada mangsa membuat panggilan kecemasan.

“Bertindak atas maklumat berkenaan, satu pasukan mencari dan menyelamat membabitkan anggota APM, polis, bomba serta dibantu Orang Asli dibentuk dan memulakan pencarian sekitar jam 10 malam,” katanya.

Aziana berkata, semua mangsa yang tersesat itu ditemui pada jam 12 tengah malam dan berada dalam kedudukan 300 meter dari kampung Orang Asli di situ.

Katanya, keadaan gelap selain tidak membawa lampu suluh dan hanya bergantung kepada cahaya daripada telefon bimbit menyebabkan mangsa tidak menyedari berada 300 meter dari perkampungan Orang Asli di situ.

“Ketika ditemui, semua mangsa berada dalam keadaan penat dan lapar dan selamat dibawa keluar dari kawasan itu pada jam 12.20 tengah malam.

“Difahamkan mangsa merancang untuk ke air terjun itu pada jam 10 pagi dan mengambil keputusan keluar pada jam 4 petang apabila tidak menemui arah air terjun berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2018 @ 11:23am
d