mutakhir

Kaki intai maut dipukul orang awam

Oleh Fazrik Kamarudin

LELAKI warga Indonesia yang koma sejak 11 Ogos lalu dipercayai dipukul orang awam selepas disyaki mengintai di Kampung Orang Asli Baru, Sungai Lalang, meninggal dunia pada 9.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, lelaki itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kajang akibat parah pada kepala.

"Kejadian dilaporkan berlaku pada 11 Ogos lalu apabila si mati dimasukkan ke hospital selepas koma dipercayai akibat dipukul.

"Hasil siasatan, kejadian bermula apabila perbuatan si mati memasuki rumah di kampung berkenaan disyaki untuk mengintai, disedari jiran.

"Dia kemudian cuba melarikan diri, namun gagal dan ditangkap oleh penduduk kampung dan berlaku pergelutan.

"Selepas 12 hari dirawat di Hospital Kajang, dia meninggal dunia dan hasil bedah siasat semalam mengesahkan punca kematiannya adalah kecederaan teruk di kepala akibat hentakan benda tumpul dan beberapa kecederaan dalaman," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzaffir berkata, susulan itu seorang lelaki berumur lingkungan 20-an ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek direman sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: August 23, 2018 @ 1:03pm
d