mutakhir

Geng curi motosikal kena 'kaut'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS menumpaskan sindiket mencuri dan meleraikan motosikal selepas menahan lima lelaki sebelum menemui lapan rangka motosikal bernilai RM27,000 yang dibuang ke bawah jambatan dan dalam parit di kebun kelapa sawit sejak 2014.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ashmon Bajah berkata, tangkapan ke atas semua suspek lelaki berusia 17 hingga 22 tahun dilakukan hasil beberapa serbuan menerusi Ops Lejang di sekitar Kota Tinggi bermula Isnin lalu dan hari ini.

Menurutnya, remaja berusia 17 tahun itu tidak lagi bersekolah dan dipercayai menyertai rakan-rakannya mencuri motosikal.

Katanya, tangkapan pertama dilakukan hasil maklumat orang ramai dan risikan anggota Balai Polis Bandar Penawar yang mengintip sebuah Proton Wira dinaiki tiga lelaki pada jam 3 petang, Isnin lalu.

“Pasukan berkenaan menahan mereka yang menunggang sebuah motosikal dan menaiki Proton Wira di pintu masuk sebuah hotel di Bandar Penawar.

“Semakan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang bersabit laporan yang dibuat di Bandar Penawar pada 13 Ogos lalu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menubuhkan pasukan khas bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat, ketiga-tiga suspek membawa anggota ke satu lokasi rahsia di bawah jambatan di Jalan Mutiara Bandar Mas pada jam 12.30 tengah hari, Selasa lalu, sebelum menemui tujuh rangka motosikal iaitu empat Honda EX-5 dan tiga Yamaha RXZ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, susulan penemuan tujuh rangka motosikal berkenaan, pihaknya menahan dua lagi suspek masing-masing seorang di FELDA Sungai Mas dan FELDA Papan Timur pada jam 2 pagi semalam kerana disyaki terbabit dalam kegiatan sama.

Katanya, hasil serbuan kedua itu, pihaknya menemui satu rangka motosikal Honda Wave 125 di kawasan parit di dalam kebun kelapa sawit di Felda Papan Timur, pada jam 12.30 tengah hari hari ini.

“Hasil pemeriksaan dan semakan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang pada 3 Mei 2014 di Pasir Gudang.

“Hasil siasatan, kami dapati kumpulan lelaki ini menggunakan modus operandi meleraikan enjin dan komponen motosikal untuk dijual kepada pelanggan di kawasan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, semua suspek dan barangan rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

Katanya, berikutan penahanan semua suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan 20 kes curi motosikal di daerah ini.

Disiarkan pada: August 23, 2018 @ 9:37pm
d