mutakhir

PRK Seri Setia: UMNO tegur cara PAS kempen

Oleh Nur Lela Zulkipli

GERAK kerja jentera PAS bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia perlu lebih bersistematik supaya tidak dilihat hanya ‘syok sendiri’.

Ketua UMNO Cawangan Taman Putra Damai Fasa 2, Abu Shahid Mohd Suki berkata, terdapat potensi untuk PAS menarik sokongan rakyat, namun gerakan kempen parti itu setakat ini tidak teratur sekali gus menyukarkan mereka untuk memperoleh sokongan lebih spesifik.

Menurutnya, kawasan pusat daerah mengundi (PDM) yang besar memerlukan perancangan kempen yang lebih tersusun seperti mana yang dilaksanakan BN ketika PRU lepas.

“Dalam hal ini, kami dari empat cawangan bawah PDM ini yang mempunyai kira-kira 4,600 pengundi bersedia untuk bersama-sama PAS menyusun gerak kerja yang lebih baik seperti mana yang dilaksanakan Barisan Nasional sebelum ini.

“Satu bilik gerakan juga perlu diwujudkan supaya pelaksanaan kempen lebih teratur termasuk menyusun jentera wanita untuk bergerak secara berkelompok. Perkara ini akan dibincangkan lebih spesifik dengan calon (Dr Halimah Ali),” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan daging korban kepada 30 penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Subang, di Petaling Jaya, hari ini.

Menurut Abu Shahid, tiga lagi UMNO cawangan terbabit adalah Cawangan Blok F PPRT Lembah Subang, Cawangan Kampung Melayu Lembah Kelana Jaya, dan Cawangan Ara Damansara.

“Kami menyokong 100 peratus untuk bekerjasama dalam kempen dan sedia untuk sertai jentera PAS. Ini semua atas tiga sebab iaitu kami sama-sama Islam, Melayu dan pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Abu Shahid turut mendakwa sokongan pengundi Pakatan Harapan (PH) di kawasan PPRT Lembah Subang akan terjejas dalam PRK kali ini disebabkan masalah perumahan yang tidak selesai.

“Saya mendapat maklum perkara ini disebabkan ada usaha bertemu dengan menteri terbabit tetapi nampaknya perkara tidak selesai juga,” katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2018 @ 10:23pm
d