mutakhir

Semoga jemaah haji lekas sembuh

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

BIARPUN cedera, ibadat haji perlu disempurnakan. Itu tekad Munawar Harun, seorang daripada sembilan jemaah haji yang cedera dalam kemalangan membabitkan dua bas di Makkah, pada Khamis.

Dia yang cedera pada bahu kanan amat berharap dapat mengerjakan tawaf dan saie dalam sehari dua ini bagi menyempurnakan ibadat hajinya.

Menurut Munawar, pada masa ini dia tidak boleh banyak bergerak dan masih tidak mampu untuk mengangkat tangan kanannya.

"Saya amat berharap dapat melakukan tawaf dan saie dalam sehari dua ini. Mungkin Tabung Haji (TH) dapat sediakan kerusi roda dan pembantu sebab saya tak boleh banyak bergerak," katanya ketika ditemui media di Maktab 81, di sini.

Dia yang berasal dari Perak antara tiga jemaah haji lelaki dan enam jemaah wanita yang cedera dalam kemalangan itu yang berlaku kira-kira 8.40 pagi waktu tempatan.

Bas terbabit membawa 55 jemaah yang juga penghuni Maktab 81 pulang dari Mina ke hotel di Makkah selepas selesai ibadat melontar dan melakukan nafar awal.

Kejadian berlaku apabila pemandu bas tidak sempat menekan brek lalu melanggar satu lagi bas membawa jemaah Malaysia di hadapan.

Kebanyakan mangsa cedera pada bahu serta muka termasuk luka di dagu, bengkak mata dan dahi akibat terhentak pada kerusi di hadapan mereka akibat perlanggaran.

Menceritakan kejadian, Munawar berkata dia berdiri di bahagian tengah bas dengan tangan kanannya memegang besi di atas sebelum bas itu melanggar bas di hadapan.

"Saya masih memegang besi tapi badan saya berpusing dan bahu saya terhentak pada besi kerusi di tepi saya," katanya yang ditemui selepas diziarahi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa di Maktab 81 petang Khamis.

Munawar berkata, dia dan lapan lagi jemaah yang cedera dibawa ke hospital tempatan dan selepas pemeriksaan, doktor memberitahu tulang bahu kanannya terkeluar daripada kedudukan asal.

Munawar bersama lapan lagi jemaah hanya dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang ke hotel penginapan masing-masing.

Seorang lagi jemaah yang cedera akibat kemalangan itu, Sukini Giman berkata, dia menerima beberapa jahitan di dagu akibat terhentak pada besi pemegang kerusi di hadapan.

"Dagu saya koyak dan enam gigi palsu saya patah, menyebabkan saya sukar untuk mengunyah makanan," katanya yang berasal dari Kuala Selangor.

Dia berharap akan segera sembuh dan sihat seperti sedia kala untuk membolehkannya melakukan tawaf dan saie bagi menyempurnakan ibadat haji.

Berita berkaitan

Sembilan jemaah hanya cedera ringan

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 9:39am
d