mutakhir

Toyota Camry hangus

Oleh Hasbi Sidek

DUA lelaki terselamat apabila kereta Toyota Camry dinaiki mereka hangus 100 peratus di Kilometer 6.5 Jalan Genting Highlands, berhampiran Genting Premium Outlet, Genting Highlands, Bentong, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, dua lelaki berusia lingkungan 30-an dikatakan dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian 12.39 tengah malam.

"Seramai lima anggota dan pegawai dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati bahagian hadapan kenderaan berkenaan terbakar. Pemandu dan penumpang sudah keluar dari kenderaan dan tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Sani berkata, operasi turut mendapat bantuan dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur dan Anggota Unit Kebakaran Polis Bantuan (PB) Genting Highlands.

"Daripada maklumat diterima, kenderaan berkenaan dinaiki dua lelaki dari Genting Highlands menghala turun ke KLK dan sebaik tiba di lokasi, ia terbakar secara tiba-tiba.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan Bahagian Forensik JBPM Pahang.

"Bagaimanapun, pihak kami mendapati kebakaran bermula dari bahagian hadapan berhampiran enjin kenderaan itu," katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 9:51am
d