mutakhir

Positif perang dagang

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Malaysia akan mendapat manfaat daripada perang dagang Amerika Syarikat (AS) dan China meskipun konflik itu mencetuskan kebimbangan kemelesetan ekonomi global.

Dr Mahathir berkata, beliau sedar perang dagang itu memberi kesan buruk kepada Malaysia namun terdapat faedah tertentu kerana kehilangan pasaran China oleh AS memberi peluang kepada Malaysia.

“Ketidakupayaan AS menggunakan China sebagai pangkalan pembuatan juga boleh menyebabkan mereka beralih ke negara lain termasuk Malaysia,” katanya dalam wawancara bersama ThaiPBS yang menyentuh isu-isu antarabangsa.

Beliau berkata, Malaysia dan rakan ASEAN perlu menghadapi kesan negatif dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Kami tidak cukup kuat untuk memberitahu China atau AS untuk menghentikan perang perdagangan yang bodoh ini. Perang dagang ini tidak akan memberi manfaat kepada mereka.

“Kami perlu mencari jalan bagi menyesuaikan akibat perang perdagangan berkenaan di rantau ini supaya ekonomi kami tidak terjejas teruk,” katanya.

Dalam lawatan lima hari ke China, Dr Mahathir berusaha menarik pelaburan China selain daripada membincangkan penangguhan projek mega yang dibiayai negara itu.

Dalam wawancara berkenaan, Dr Mahathir juga menyatakan Malaysia akan meneruskan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang ditandatangani kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau memberitahu pentadbirannya juga berhasrat meneruskan perjanjian perdagangan alternatif yang diusahakan China iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Kami fikir perlu meneruskannya kerana kami tidak boleh mengecualikan China.

“Anda mungkin tidak menyukai China tetapi hakikatnya ia sudah wujud di sana dan China sebuah negara besar yang sangat kuat dan kaya,” katanya.

Menyentuh mengenai tuntutan China terhadap Laut China Selatan, Dr Mahathir dalam wawancara itu berkata, tidak bijak bagi ASEAN termasuk Malaysia mengambil pendirian konfrontasi terhadap China.

Beliau berkata, negara ASEAN boleh membantah tuntutan berkenaan, tetapi kuasa besar itu dengan mudah boleh mengabaikannya.

“Itu sebabnya Malaysia mempunyai sikap yang sedikit berbeza dalam hal ini. Kami menerima bahawa China adalah negara yang kuat dan kami tidak boleh berperang dengan China.

“Oleh yang demikian, kita perlu mempunyai beberapa cara diplomatik untuk berunding dengan China,” katanya.

Beliau turut mengulangi rayuannya kepada China supaya memastikan Laut China Selatan terbuka kepada semua kapal walaupun negara itu menuntut kawasan berkenaan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, tindakan AS untuk memprovokasi China merupakan pendirian yang tidak disenangi Malaysia.

“China mendakwa laut berkenaan kepunyaan mereka termasuk pulau-pulaunya, tetapi kenapa kita harus memprovokasi negara itu?

“Malaysia juga mempunyai pulau di sana... perkara yang paling penting adalah kebebasan laluan kapal.

“Sekarang terdapat laluan bebas (kapal), tetapi kapal perang Amerika cenderung untuk menimbulkan provokasi terhadap China dengan berlayar berhampiran pulau-pulaunya,” katanya.

Sepanjang wawancara berkenaan, Dr Mahathir turut menyatakan pendiriannya menentang segala bentuk keganasan sebagai jalan penyelesaian.

“Perang tidak lagi menjadi penyelesaian konflik kerana ia akan menjadi bencana malah keupayaan senjata moden boleh mengakibatkan jutaan orang boleh mati dalam peperangan.

“Sudah terjadi dalam perang dunia kedua, tujuh juta orang mati dan seluruh negara boleh dimusnahkan,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 11:03am
d