mutakhir

Cadang dewan jadi pusat tuisyen [METROTV]

Oleh HM Digital

Petaling Jaya: Dewan serbaguna dicadang dijadikan pusat tuisyen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia bagi usaha menambah baik kualiti pendidikan secara lebih holistik.

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, cadangan itu dibuat selepas hasil pemerhatian dijalankan pihaknya mendapati kawasan di rumah khusus di pangsapuri kos rendah agak sempit untuk dijadikan ruang pembelajaran.

“Saya cadangkan supaya dewan serbaguna atau balai raya dimanfaatkan sebagai pusat tuisyen untuk pelajar mengulang kaji di DUN ini.

“Kawasan rumah yang sempit tidak selesa untuk dijadikan ruang pembelajaran atau ulang kaji. Malah, masjid, surau dan rumah ibadat juga boleh dijadikan pusat kecemerlangan,” katanya.

Menurut Halimey lagi, sehingga kini masih banyak insfrastruktur yang perlu ditambah baik terutama membabitkan beberapa tadika di kawasan DUN Seri Setia.

“Ada tadika yang pada pendapat saya masih ketinggalan insfrastrukturnya dan perlu dinaik taraf dengan kadar segera.

“Keadaan sama juga boleh dilihat pada kemudahan perpustakaan yang disediakan, di mana masalah capaian Internet dan pengenalan aplikasi terkini perlu diberi perhatian,” katanya yang memfokuskan isu pendidikan bagi penduduk Seri Setia.

Sementara itu, Halimey turut menekankan penguasaan bahasa bagi belia masa kini khususnya bahasa Inggeris.

“Kita akan rangka dan tambah baik aktiviti sedia ada dalam meningkatkan penguasaan bukan saja dalam bahasa Inggeris malah bahasa Tionghua, Tamil serta bahasa dunia seperti Jepun, Korea dan lain-lain.

“Kelebihan utama mempelajari bahasa luar adalah individu berkenaan boleh memperoleh banyak maklumat mengenai sesuatu ilmu,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 11:12am
d