mutakhir

Ketum kena rampas punya hal...

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SEORANG anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Perlis cedera terkena serpihan cermin tingkap selepas penempatan PGA BN 2 di Pos Padang Besar 11, Padang Besar diserang seorang lelaki warga Thailand, Rabu lalu.

Ketua Polis Perlis Datuk Azisman Alias berkata, kejadian berlaku apabila lelaki dipercayai ketua sindiket penyeludupan ketum tidak berpuas hati selepas 12 guni daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand melalui tembok sempadan negara dirampas PGA.

Katanya, sebelum itu pasukan berkenaan merampas 12 guni daun ketum di kawasan tembok sempadan PB 10 yang cuba diseludup ke negara jiran oleh dua orang lelaki dipercayai warga Thailand pada jam 11 pagi.

“Pasukan PGA cuba menahan mereka tetapi suspek berjaya melarikan diri dengan masuk ke Thailand sebelum seorang lelaki yang berada dalam kawasan Thailand muncul menghampiri tembok sempadan.

“Lelaki terbabit meminta semua guni yang dirampas dikembalikan, tetapi permintaannya tidak diendahkan oleh pasukan PGA.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit menghampiri penempatan PGA BN 2 di Pos PB 11 kira-kira tiga jam kemudian dan tiba-tiba melepaskan sembilan das tembakan ke arah penempatan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggota PGA yang berada di penempatan itu menjerit supaya berlindung dari tembakan berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, akibat tembakan itu beberapa cermin tingkap di penempatan berkenaan pecah hingga menyebabkan serpihannya terkena seorang anggota, namun keadaannya dilaporkan stabil.

“Pihak kami meminta bantuan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 5:44pm
d