mutakhir

Masih kaji ECRL - Dr Mahathir [METROTV]

Oleh R Manirajan dan Mohd Iskandar Ibrahim

KERAJAAN sedang mengkaji sama ada akan menangguhkan atau mencari kaedah lain untuk melaksanakan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek lain yang berkaitan dengan China.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kajian itu perlu dilakukan bagi mengelak kerajaan terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk projek berkenaan.

“Jika boleh, kita ingin menggugurkan projek terbabit atau menangguhkannya buat sementara atau kita mencari kaedah lain dengan menyerahkan projek itu kepada pihak lain.

“Buat masa ini, kita masih mengkaji sama ada tangguh semua dan cari jalan lain yang tidak akan membebankan kewangan negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sesi Townhall bersama Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai status pelaksanaan ECRL dan projek lain susulan lawatan rasminya ke China, baru-baru ini.

Dr Mahathir dalam lawatan kerjanya itu mengumumkan pembatalan projek ECRL dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Sementara itu, Dr Mahathir menafikan dakwaan kononnya lawatan beliau ke China adalah untuk mendapatkan pinjaman dalam mata wang Yuan daripada republik berkenaan.

“Tidak, kita sudah cukup pinjam daripada China,” katanya.

Ditanya mengenai permintaan Malaysia untuk meminjam dalam mata wang Yen dari Jepun, beliau berkata perkara itu sedang diuruskan.

“Kita tidak pergi ke pejabat Perdana Menteri (Jepun) dan (kata) tolong beri kami Yen, kita perlu melakukannya mengikut prosedur.

“Sekarang pegawai kami sedang menguruskan soal (pinjaman) Yen,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 7:24pm
d