mutakhir

[UPDATE] LHDN sedia beri kerjasama

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan berkaitan isu bayaran balik cukai pendapatan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Sabin Samitah dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengesahkan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Rabu lalu, bahawa terdapat kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

Katanya, berdasarkan kedudukan TBBC yang terhad, keutamaan pembayaran balik cukai terlebih bayar diberikan kepada pembayar cukai individu yang mana sehingga 31 Julai lalu, LHDN berjaya memproses lebih daripada 90 peratus permohonan bayaran balik cukai tahun semasa bagi kategori pembayar cukai itu.

“Bagi kategori pembayar cukai yang lain, bayaran balik masih tidak dapat dilaksanakan kerana tiada peruntukan tambahan untuk tabung berkenaan.

“Penangguhan bayaran balik cukai terlebih bayar ini terutamanya disebabkan oleh peruntukan dalam TBBC yang tidak mencukupi.

“Dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai, Kementerian Kewangan yang dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, LHDN sudah memaklumkan kedudukan baki kredit terkini yang boleh dibayar balik kepada pembayar cukai dan memohon tambahan peruntukan untuk dipindahkan ke TBBC agar bayaran balik dapat dilaksanakan,” katanya. Katanya, permohonan rasmi secara bertulis juga sudah dibuat kepada Kementerian Kewangan.

Berita berkaitan

Polis siasat LHDN

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 7:45pm
d