mutakhir

Tak perlu beku transaksi YWP [METROTV]

Oleh Zanariah Abd Mutalib

MENTERI Wilayah, Khalid Samad, berkata tidak ada keperluan untuk pihaknya membekukan transaksi urus niaga Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) membabitkan lot tanah, susulan status 19 lot tanah milik yayasan itu yang didakwa meragukan.

Beliau berkata, YWP mengikut prosedur ditetapkan bagi perolehan tanah berkenaan, selain turut terdapat syarikat lain yang membuat permohonan untuk mendapatkan tanah berkenaan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang mahu Kementerian Wilayah membekukan sebarang trasnsaksi YWP membabitkan tanah berkenaan sementara pihak berkuasa membuat siasatan.

“Jika mahu dibekukan transaksi membabitkan tanah, beliau (Lip Eng) tidak boleh fokus kepada YWP saja kerana yang dapat tanah melalui prosedur dulu itu ramai, bukan hanya YWP saja. Ada juga syarikat lain.

“Antara prosedur diguna pakai dulu adalah mereka (YWP dan syarikat lain) membida bagi permohonan tanah untuk dibangunkan dan sebagainya.

“Tanah diperoleh YWP ini adalah sejak 2009 lagi dan kelulusan sudah lama, jadi tidak wajar untuk saya sekat (transaksi),” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi pratonton media Floria Diraja Putrajaya 2018 di Presint 4 di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Lip Eng berkata, beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam waktu terdekat susulan status 19 lot tanah milik YWP yang didakwa meragukan.

Khalid berkata, hanya satu saja tanah YWP yang diluluskan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), manakala selebihnya adalah melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Ditanya perancangan YWP untuk menjana kewangan supaya tidak hanya bergantung kepada urus niaga tanah, Khalid berkata, beliau sudah mengarahkan satu jawatankuasa di bawah kementeriannya bagi mengkaji rancangan perniagaan baharu untuk YWP.

“Pendekatan sedia ada tidak mapan dan tidak boleh diteruskan. Mulai sekarang, kita akan melihat peluang perniagaan dengan menggunakan YWP sebagai penggerak bagi menjana pendapatan untuk tujuan kebajikan,” katanya.

Selain itu, Khalid berkata, beliau sudah mengarahkan YWP untuk menjalankan program kebajikan melalui Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan berbanding melalui pemimpin Barisan Nasional (BN) di bawah kerajaan sebelum ini.

“Dulu kebanyakan Parlimen di bawah pembangkang, jadi banyak program kebajikan tidak sampai kepada Parlimen pembangkang. Jadi saya sudah arahkan kita jangan ikut cara dulu, lakukan melalui Ahli Parlimen,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 8:27pm
d