mutakhir

Segerakan penyelesaian geran lot tanah rizab

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

KERAJAAN negeri Melaka membuka permohonan pemilikan geran bagi 500 lot tanah rizab kereta api di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Alor Gajah kepada golongan yang benar-benar layak mengikut syarat ditetapkan.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, pihaknya bagaimanapun akan mempercepat penyelesaian kira-kira 100 permohonan selewat-lewatnya, akhir tahun ini.

Beliau berkata, proses permohonan itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan akan datang di enam kampung antaranya Parit Melana, Belimbing Dalam dan Panchor.

“Justeru, kami akan mengkaji semula permohonan sedia ada atau baharu untuk diberi kepada penerima layak seperti tiada tanah atau golongan miskin.

“Kami beri keutamaan kepada pemohon yang sudah menjalankan tanaman di tanah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penyerahan Geran kepada 77 penduduk Kampung Panchor, Durian Tunggal, Alor Gajah, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal itu berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan menilai semula proses permohonan berkenaan sebelum dipanjangkan kepada ADUN melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Mohd Sofi berkata, proses itu dibuat berikutan pihaknya mendapati penyerahan geran sebelum ini membabitkan pemilikan beberapa individu dalam satu keluarga, sedangkan perkara itu tidak wajar berlaku.

Sementara itu, penerima geran, Ahamad Abu Hassan, 67, berkata, dia lega menerima geran berkenaan selepas dua kali membuat permohonan sejak tiga tahun lalu.

“Tanah seluas 683 meter persegi ini saya usahakan tanaman sejak 20 tahun lalu dan saya akan dirikan rumah selepas ini,” kata pemandu lori itu.

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 9:13pm
d