mutakhir

Mahkamah Tinggi benarkan Equanimity dijual [METROTV]

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Admiralti) hari ini membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia dan tiga lagi untuk menjual kapal layar mewah Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Khadijah Idris membenarkan permohonan bagi mendapatkan perintah penilaian dan penjualan dikemukakan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua subsidiarinya Global Investment Limited serta Energy Holdings Limited mengikut Perintah 29 Aturan 4 Kaedah Mahkamah 2012.

Khadijah membuat keputusan itu dalam kamar beliau.

Keempat-empat pihak selaku plaintif memfailkan permohonan untuk membuat penilaian terhadap aset itu dan menjualnya segera ketika prosiding mahkamah mengenainya masih berlangsung.

Melalui permohonan difailkan pada 6 Ogos lalu, mereka menamakan pemilik kapal dan syarikat Equinimity (Cayman) Ltd beralamat di United Kingdom sebagai defendan pertama dan kedua.

Peguam Ong Che Kwan yang mewakili 1MDB berkata, mahkamah membenarkan permohonan itu dengan alasan bagi mengelakkan kos penyelenggaraan tinggi, selain ia boleh menyebabkan kerosakan sehingga aset itu susut nilai dan alasan keselamatan.

Ong ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, pihaknya berharap proses penjualan kapal layar itu dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini melalui tender awam.

Katanya, pihaknya sudah menyampaikan notis kepada kedua-dua defendan.

“Kami tidak menerima sebarang kehadiran oleh peguam defendan hari ini...walaupun begitu, ia tidak akan menjejaskan kes ini dan jika mahu pertahankan kes mereka, mereka perlu datang ke mahkamah selaku pencelah.

“Bagaimanapun permohonan untuk perintah penjualan Equanimity sudah agak terlambat... Langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap defendan.

“Apabila sudah mendapat penghakiman itu, kami berhak ke atas wang hasil jualan kapal terbabit... Buat masa ini fokus kami adalah untuk memastikan ia dapat dijual,” katanya.

Ditanya bagaimana plaintif boleh menjual aset yang bukan miliknya, Ong berkata, tuntutan bagi pemilikan itu akan ditentukan kemudian oleh mahkamah, bagaimanapun buat masa ini mahkamah boleh mengeluarkan perintah supaya ia dijual dan wang diperoleh akan menjadi perkara pokok dalam tuntutan berkenaan.

Beliau berkata, mana-mana pihak berkepentingan boleh membawa tuntutan mereka ke mahkamah.

Seorang lagi peguam 1MDB, Jeremy Joseph berkata, pihak yang membeli kapal itu tidak akan menghadapi sebarang masalah kerana mengikut undang-undang Admiralti, pembeli kapal itu akan mendapat hak sah.

Katanya, jika pemilik kapal tidak membuat sebarang tuntutan, wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun dipegang oleh mahkamah.

“Sesiapa yang diisytiharkan pemilik boleh menuntut wang itu di mahkamah,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, Kerajaan Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke dan Zureen Elena Md Dom.

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 11:25pm
d