mutakhir

OKU lemas di air terjun

Oleh Farah Suhaidah Othman

LELAKI orang kurang upaya (OKU) lemas ketika mandi di kawasan air terjun Batu Hampar di Hutan Simpan Laneh Padang Rengas, Kuala Kangsar, hari ini.

Dalam kejadian 3.40 petang itu, mangsa, Muhammad Yusuf Shamsuddin, 25, yang bekerja sebagai buruh dan mempunyai masalah pembelajaran ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas dilaporkan tenggelam ketika mandi di kawasan perkelahan berkenaan.

Mayat mangsa dijumpai sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam di kawasan cerun air terjun terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 4.25 petang di kawasan air terjun yang mempunyai banyak batu selain cerun dengan air sedalam enam meter.

“Mangsa bersama dua rakan berusia 15 dan 16 tahun ke lokasi kejadian untuk mandi.

“Ketika mandi mangsa bersama seorang rakannya itu bergayut pada tali direntangkan untuk menyeberangi air terjun berkenaan, namun melepaskan tangannya di pertengahan tali sebelum terjatuh ke dalam air dan tenggelam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, rakan mangsa cuba menyelamatkannya, namun gagal sebelum berenang ke tebing.

Katanya, pasukan APM Kuala Kangsar dengan bantuan penduduk setempat yang tiba awal di lokasi kejadian berjaya menemui mangsa di kawasan cerun air terjun berkenaan.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan di bahagian belakang kepala dan berlaku pendarahan di telinga kiri.

“Hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar mengesahkan kematian mangsa akibat kecederaan kepala susulan lemas,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 11:32pm
d