mutakhir

Malaysia dikagumi negara Islam lain

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

KAEDAH sistematik menguruskan jemaah haji sebagaimana dilakukan Tabung Haji (TH), sistem perbankan Islam dan perkhidmatan insurans Islam.

Itu tiga model pengurusan Islam dimiliki Malaysia yang menarik perhatian beberapa negara Islam lain dan ingin mereka pelajari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata hasrat itu disampaikan kepadanya ketika menghadiri mesyuarat tahunan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz dengan Menteri Agama Islam dari seluruh dunia.

Mesyuarat bertemakan Konsep Rahmat dan Ganjaran Dalam Islam itu dihadiri kira-kira 500 wakil kerajaan dari 76 negara Islam dan diadakan di Istana Mina, dekat Makkah pada Khamis lalu.

Mujahid yang pertama kali menghadiri mesyuarat itu selepas dilantik Menteri Kabinet Julai lalu berkata, Malaysia amat dihormati sebagai negara Islam yang progresif.

"Alhamdulillah, model Malaysia sudah berada di bibir menteri agama dari negara-negara lain. Mereka bukan saja ingin mempelajari kaedah menguruskan jemaah haji sebagaimana dilakukan TH.

"Malah, mereka juga berminat dengan sistem perbankan Islam dan sistem insurans (Islam) dipraktikkan di Malaysia yang boleh dianggap sebagai antara terbaik di dunia.

"Malaysia sudah pastinya berbesar hati. Sekiranya ada negara luar yang ingin belajar, kita sentiasa bersiap sedia untuk berkongsi pengalaman yang kita ada kepada mereka," katanya ketika ditemui media Malaysia, di sini.

Mujahid berkata, mesyuarat atau perhimpunan dihadirinya itu juga memberi kesempatan untuk menteri agama Islam dari seluruh dunia bertemu dengan rakan sejawatan.

Menurutnya, antara Menteri atau wakil kerajaan yang ditemuinya dan menyatakan minat untuk belajar dari Malaysia adalah dari Mesir, Tunisia, Maghribi dan negara-negara Afrika.

"Saya juga bertemu dengan wakil dari Palestin iaitu duta Palestin (ke Arab Saudi) dan dia juga menyatakan hasrat yang sama.

"Seorang menteri agama, iaitu dari Algeria, apabila mengetahui saya dari Malaysia, satu institusi yang beliau sebut adalah TH. Beliau melahirkan rasa kagum dengan sistem pengurusan jemaah TH dan ingin belajar daripada kita," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 10:39am
d