mutakhir

Penjaja merdu

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Berbanding generasi muda kini yang cenderung berniaga produk kegemaran semasa termasuk secara dalam talian.

Mohamad Khairul Sezali, 31, pula mempunyai minat berniaga yang berbeza, malah pemuda berasal dari Kampung Laut 3 di sini, lebih senang memilih menjual alat muzik tradisional.

Dia juga mewarisi bakat membuat serunai dan rebab daripada arwah datuknya, sebelum membolehkan alatan itu dijual sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, dia membesar dengan mendengar arwah datuknya bermain rebab dan mengikuti kumpulan dikir barat membuat persembahan.

“Daripada situ saya mula berminat dengan muzik tradisional dan belajar bermain dan membuat alat muzik itu,” katanya yang terbabit serius dengan muzik tradisional sejak berusia 19 tahun.

Tidak menafikan alat tradisional rumit untuk dihasilkan, apatah lagi ia perlu ketelitian bagi aspek penghasilan bunyi dan ‘key’ suara.

Menurutnya, serunai memerlukan empat ke lima hari untuk disiapkan, manakala rebab pula sembilan hari bergantung kepada ukiran yang diinginkan pelanggan.

Mohamad Khairul berkata, dia menggunakan kayu nangka, senor dan cengal untuk serunai dan rebab dengan semua jenis kayu itu diperoleh daripada pembekal di Kuala Krai.

“Untuk serunai, harga antara RM250 dan RM350, manakala rebab pula RM700 hingga RM900,” katanya yang turut bermain alat itu secara profesional.

Katanya, kemahirannya membawa dia ke serata dunia termasuk Perancis, China, Jerman dan Khazakhstan untuk membuat persembahan.

“Saya juga berbangga kerana sudah beberapa tahun dijemput untuk membuat persembahan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 12:20pm
d