mutakhir

Tragedi turun bukit

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seorang juruterbang Singapore Airlines (SIA) maut dalam kemalangan sejurus motosikal berkuasa tinggi ditungganginya merempuh belakang kereta di Jalan Cheras di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 4.23 petang kelmarin.

“Mangsa menunggang motosikal model Ducati 1299 dari Jalan Cheras ke Kajang ketika kejadian. Setibanya berhampiran Bulatan Cheras, mangsa memotong sebuah motosikal.

“Bagaimanapun ketika menuruni bukit di jalan itu mangsa gagal mengelak sebelum melanggar belakang sebuah kereta,” katanya.

Zulkefly berkata, mangsa warga tempatan yang maut di lokasi kejadian dikenali sebagai Eugene Benard Wang, 46.

“Dia bekerja sebagai juruterbang di SIA. Siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,’ katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 1:24pm
d