mutakhir

Dua maut, enam cedera dalam nahas

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

DUA maut manakala enam cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 33 Jalan Chini-Terapai, Pekan, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi, mangsa yang maut adalah penumpang hadapan, Muhammad Amirul Dzulkifli, 24, dan penumpang belakang Afizah Abdullah, 29, yang kedua-duanya berasal dari FELDA Chini 1.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mohd Zain berkata, mangsa yang cedera ialah pemandu Mohd Zulfazli Dzulkifli, 30, ibunya Rosliza Ismail, 50, dan seorang penumpang belum dikenal pasti identiti kerana sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

“Tiga lagi penumpang iaitu adik, adik ipar dan anak saudara kepada pemandu yang belum dikenal pasti identiti mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) .

“Kejadian dipercayai berlaku apabila MPV yang dalam perjalanan dari FELDA Chini menghala ke FELDA Bukit Mendi, Triang, Bera terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di kiri jalan sebelum terbalik,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 6:50pm
d