mutakhir

Tiga sahabat naik pelamin bersama... [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

HASRAT tiga sahabat mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana tercapai apabila mereka sepakat memilih untuk bersanding bersama-sama di surau As Solihin di Kampung Aman, Kepala Batas, hari ini.

Muhammad Razin Ahmad Ridzuan, 28, Siti Shahirah Baharudin, 27, dan Muhamad Arif Azwal, 25, yang berkawan sejak kecil gembira apabila keluarga masing-masing 'merestui' cadangan Ahli Jawatankuasa surau itu mahu membantu golongan belia untuk mendirikan rumah tangga.

Siti Shahirah berkata, dia dan suami Muhammad Fitri Abdullah, 27, gembira apabila dimaklumkan mengenai penganjuran majlis persandingan serentak berkenaan.

“Dalam Islam menuntut kita menganjurkan majlis perkahwinan secara sederhana, dan kami bersyukur kerana tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk berkahwin,” katanya.

Majlis persandingan bersama-sama itu julung kali dianjurkan Surau As Solihin, dengan kerjasama penduduk setempat.

Sementara itu, Muhammad Arif berkata, dia dan isteri Nor Shafina Nadzwa Mohd D Zambri, 23, tidak menyangka majlis perkahwinan mereka dihadiri dengan ribuan tetamu.

“Walaupun majlis ini sederhana, tetapi saya dan isteri tidak sangka ia begitu meriah hingga berada di luar jangkaan kami berdua.

“Pada mulanya, kami agak takut juga untuk berkongsi majlis dengan yang lain, tetapi syukurlah semuanya berjalan lancar dan paling penting ia menjimatkan kos,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Surau As Solihin Ismail Salleh, berkata, pihaknya merancang mengadakan majlis persandingan serentak bagi membantu menjimatkan kos yang perlu ditanggung keluarga pengantin.

“Rancangan ini diadakan berikutan kita turut menjalankan ibadah korban serentak di mana ada peserta menginfaqkan daging korban untuk mengadakan majlis ini.

“Jadi, ia secara tidak langsung meringankan perbelanjaan pihak surau mengadakan majlis perkahwinan untuk anak-anak kariah di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, setiap keluarga pengantin hanya menyumbang RM3,000, manakala selebihnya dibantu surau dan penduduk yang bergotong-royong memasak dan menyediakan kelengkapan untuk majlis itu.

Katanya, pihak surau juga mengorbankan empat lembu untuk mengadakan majlis perkahwinan berkenaan, yang dihadiri lebih 4,000 tetamu termasuk penduduk kampung.

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 10:21pm
d