mutakhir

Sekelip mata jutawan

Oleh Hida yatul Akmal Ahmad

Kuala Lumpur: Seorang kontraktor Kelas F tidak menyangka amalan menyimpan dalam Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) sejak tiga tahun lalu melayakkannya menerima ganjaran simpanan tunai BSN SSP bernilai RM1 juta.

A Z Rabbani Rozali, 33, memenangi Cabutan BSN SSP Julai berkata, dia mengetahui berita itu selepas wakil BSN datang ke rumahnya di Kota Bharu, Kelantan bulan lalu.

“Ini kali pertama saya memenangi pertandingan yang sangat bermakna dalam hidup saya kerana diumumkan sehari sebelum hari lahir saya.

“Sebelum ini saya menyimpan dalam jumlah yang kecil tetapi saya menjualnya kerana tidak pernah memenangi pertandingan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan hadiah kepada pemenang BSN SSP yang diadakan di Wisma BSN di sini, semalam.

Menurut Rabbani, dia berhasrat mahu menambah nilai hidup keluarganya dan membawa mereka menunaikan ibadah umrah menggunakan wang dimenangi.

“Saya ingin membawa 15 ahli keluarga menunaikan ibadah umrah dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan/Ketua Operasi Perbankan BSN, Ahmad Noh Jeni berkata, cabutan istimewa RM1 juta ditawarkan secara berterusan setiap bulan bermula Jun lalu.

“Kini kami mencari jutawan bagi Ogos 2018 atau jutawan merdeka. Penyimpan mempunyai jumlah deposit atau baki minimum BSN SSP RM3,000 dan ke atas layak menyertai dan disenaraikan dalam cabutan ini,” katanya.

BSN meraikan dua pemenang Cabutan Istimewa Julai iaitu Norhayati Sarif, 63, yang memenangi kereta BMW 318i dan Nur Fatihah Has-yun Mohd Zainuddin, 15 yang memenangi BSN SSP RM10,000 bagi Cabutan Remaja.

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 2:07am
d