mutakhir

'Sebelah tangan' teroka tiga negara

Oleh Mohamed Basyir

Georgetown: Kudung tangan kanan tidak menjadi penghalang kepada seorang penternak kambing bagi membuktikan rasa cintanya kepada negara sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.

A Santana Dass, 35, mempunyai cara tersendiri bagi menyemarakkan semangat cintakan negara apabila memilih untuk menunggang motosikal sambil mengibarkan Jalur Gemilang ke tiga negara iaitu Singapura, Thailand, dan Myanmar bermula 16 September depan.

Inisiatif anak jati Pulau Pinang itu bakal mencipta Rekod Dunia Guinness dan The Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori tunggangan motosikal terjauh dengan satu tangan (cacat) secara solo, ke tiga negara.

Santana berkata, dia akan memulakan jelajah sejauh 6,063 kilometer (km) pada jam 9 pagi 16 September ini dari Bukit Jambul di sini, menghala ke Bangkok, Thailand dan Myanmar sebelum berpatah balik ke Singapura dan kembali semula ke Pulau Pinang.

Katanya, mengikut perancangannya, dia dijangka kembali ke Pulau Pinang pada jam 8 malam, 29 September depan.

“Perjalanan kali ini akan merentasi tiga negara dan menggunakan motosikal Yamaha R25 yang sudah diubah suai serta digunakan bagi tujuan harian sejak setahun lalu.

“Saya membelanjakan RM700 bagi membuat pengubahsuaian pada motosikal itu dengan menukar pendikit minyak dari kanan ke kiri bagi memudahkan ia dikendalikan,” katanya .

Menurutnya, pengembaraan itu akan mencabar kemahirannya dalam mengendalikan motosikal menggunakan satu tangan.

Justeru katanya, dia mengharapkan doa dan sokongan rakyat Malaysia dalam memastikan misinya berjaya.

Katanya, idea pengembaraan berkenaan tercetus selepas dia yang dilahirkan sempurna, mengalami kemalangan ketika menunggang motosikal tiga tahun lalu sehingga menyebabkannya hilang tangan kanan.

“Sejak hilang tangan kanan, saya merasakan seperti kehidupan kosong. Jadi, saya tekad memulakan sesuatu yang mencabar, sekali gus dapat menyumbang sesuatu kepada negara.

“Memang saya orang kelainan upaya (OKU), namun ia bukan penghalang kepada diri saya. Saya ingin mencabar diri saya dan menolak stigma orang di luar sana mengenai OKU,” katanya.

Santana berkata, kos keseluruhan pengembaraan selama 14 hari itu membabitkan RM27,000 dan dia masih mencari pihak yang sudi menaja perbelanjaannya termasuk kos penyelenggaraan motosikal serta tempat tinggal.

Katanya, ketika ini dia hanya menerima sumbangan permulaan RM1,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban A Kumaresan.

“Selain itu, saya juga memohon pertolongan daripada mana-mana kelab motosikal untuk menemani saya pada peringkat tertentu perjalanan bagi tujuan keselamatan,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 2:30am
d