mutakhir

Lelaki maut treler terbalik

Oleh Mohd Hasbi Sidek

PEMANDU treler maut, manakala kelindannya parah selepas kenderaan berat itu terbalik ke dalam longkang di Kilometer 41, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Karak, dekat Bentong, malam semalam.

Dalam nahas kira-kira 8 malam itu, Zakarian Har, 55, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kelindannya, Nor Suhairi Yusof, 36, patah kaki kanan serta cedera di beberapa bahagian badan dan tengkuk.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusuf Unis berkata, siasatan awal mendapati treler bermuatan makanan ayam yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Benta, Kuala Lipis itu.

Beliau berkata, pada mulanya, kenderaan itu dipercayai berada di lorong tengah sebelum ia menghimpit sebuah kereta di lorong kiri.

“Ia kemudian terbalik ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta yang dihimpit tidak cedera, manakala mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke Hospital Bentong.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 12:30pm
d