mutakhir

'Misteri betul...'

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

RENJER Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, Ahmad Tarmizi Ahmad Japli yang hilang sejak dua minggu lalu ditemui berhampiran anak sungai kira-kira empat kilometer dari kem pengkalan dua di Hutan Simpan Yong, Taman Negara Jerantut.

Kawasan penemuan mangsa yang berusia 30 tahun itu dikatakan sudah beberapa kali dilalui pasukan mencari dan penyelamat (SAR) sejak operasi berkenaan digerakkan pada 13 Ogos lalu, namun gagal ditemui.

Mangsa yang dilaporkan hilang ketika melakukan kerja menyelenggara kamera program kaji selidik harimau pada 11 Ogos lalu ditemui kira-kira 30 anggota penyelamat yang melakukan pencarian pada 3.55 petang, semalam.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan selamat dan sihat, namun kelihatan keletihan serta trauma.

"Radius pencarian membabitkan kawasan dalam lingkungan 40 kilometer persegi dan kita menemui mangsa di antara kem pengkalan dua dan kem pengkalan tiga.

"Walaupun jarak antara kem pengkalan dua dengan lokasi mangsa ditemui hanya sejauh empat kilometer namun ia mengambil masa sehingga empat jam berikutan keadaan muka buminya yang berbukit dan mempunyai banyak anak sungai," katanya pada sidang media di Pejabat PERHILITAN Lipis, di Lipis, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim; Pengarah PERHILITAN Pahang, Ahmad Azhar Mohamed dan Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan.

Mohd Yusri berkata, kawasan penemuan mangsa adalah laluan pencarian dilalui pasukan SAR tetapi gagal ditemui kerana tidak mempunyai sebarang petunjuk atau tanda.

"Sebelum ini, polis menerusi Pasukan Gerakan Udara sudah tiga kali melakukan pencarian menggunakan alat pengesan haba pada waktu malam, namun gagal menemui mangsa berikutan keadaan hutan yang tebal.

"Selain melakukan pencarian fizikal, kita juga meminta penduduk setempat melakukan sesi solat hajat bagi membantu mangsa," katanya.

Beliau berkata, mangsa dibawa keluar dari kem pengkalan dua dengan menggunakan teknik 'winching' sebelum menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat ke padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford bagi menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.

Mohd Yusri berkata, operasi pencarian membabitkan 360 orang daripada pelbagai agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

Ahmad Tarmizi yang berkhidmat dengan Pejabat PERHILITAN Kelantan dilaporkan hilang pada 11 Ogos lalu, semasa mengumpulkan data Program 1st National Tiger Survey di hutan berkenaan.

Mangsa difahamkan masuk ke hutan berkenaan pada 9 Ogos lalu bersama-sama enam lagi renjer melalui Felda Kechau 11 Kuala Lipis, namun disedari hilang ketika dalam perjalanan pulang ke pengkalan kem.

Usaha membawa mangsa sedang dilakukan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 3:25pm
d