mutakhir

Hasil laut kian susut

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Musim ribut angin selatan sejak dua bulan lalu menyebabkan kebanyakan nelayan mengalami detik suram apabila hasil tangkapan merosot teruk.

Jika sebelum itu mereka mampu turun ke laut untuk merawai pada waktu malam iaitu menangkap ikan menggunakan kira-kira 1,000 mata kail, sekarang mereka hanya mampu berpuas hati dengan jumlah tangkapan sangat berkurangan kerana hanya mampu merawai pada waktu siang.

Hasil tangkapan merawai pada waktu malam lazimnya lebih tinggi berbanding pada waktu siang kerana faktor umpan sotong yang mudah ditangkap ketika malam berbanding siang.

Nelayan di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru di sini, yang hanya ingin dikenali sebagai Zam berkata, dia dan rakan lebih gemar turun merawai waktu malam kerana umpan sotong lebih digemari ikan seperti merah, jenahak, kerapu, pari dan talang.

“Sebelum ribut selatan turun, keadaan laut waktu malam tenang dan kami boleh merawai dengan mudah tetapi sejak ribut itu turun dua bulan lalu, kami terpaksa merawai waktu siang.

“Umpan ikan tamban dan selangat yang kami gunakan pada siang hari kurang digemari ikan besar dan ia menyebabkan hasil tangkapan merosot teruk,” katanya ketika ditemui sejurus selepas naik ke darat bersama awak-awak yang hanya ingin dikenali sebagai Man di pantai itu, semalam.

Zam berkata, ribut selatan lazimnya menyebabkan ombak setinggi kira-kira tiga hingga lima meter dan amat berbahaya bagi nelayan menggunakan perahu diperbuat daripada gentian kaca dan kayu berbanding mereka yang turun ke laut menggunakan bot besar.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 11:20am
d