mutakhir

Menteri 'masuk' penjara pujuk henti mogok lapar [METROTV]

Oleh Faris Fuad

Sungai Buloh: Seramai 118 tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dipujuk supaya menghentikan mogok lapar yang dimulakan sejak jam 8 pagi, Jumaat lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Hanipa Maidin berkata, beliau bersama peguam, T Harpal Singh mencapai perkembangan positif itu dalam satu perjumpaan bersama tahanan itu di Penjara Sungai Buloh selama dua jam, semalam.

“Saya dan peguam masuk (Penjara Sungai Buloh) jam 11.30 pagi tadi (semalam). Mereka berada dalam keadaan lemah, tapi semua masih terkawal, kesihatan mereka terus dipantau pihak penjara.

“Lawatan saya ke sini bukan untuk raih populariti, ia sebahagian tanggungjawab sebagai menteri. Hari ini misi kami berjaya (henti mogok lapar),” katanya ketika ditemui bersama ahli keluarga tahanan di hadapan penjara, semalam.

Turut hadir, Pengarah Penjara Sungai Buloh, Abdul Kadir Rais dan Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Datuk Mohd Rizuan Abdullah.

Lebih 100 ahli keluarga tahanan SOSMA berkumpul di hadapan penjara berkenaan sejak jam 11 pagi semalam bagi menggesa kerajaan menghapuskan akta berkenaan.

Semalam, media melaporkan, kerajaan kini meneliti cadangan pemansuhan SOSMA melalui jawatankuasa yang dibentuk.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman berkata, jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Jabatan Peguam Negara itu sudah beberapa kali bermesyuarat.

Dalam pada itu, Hanipa menyeru ahli keluarga yang berhimpun di pekarangan penjara itu bersurai berikutan isu mogok selesai.

“Ahli keluarga boleh bersurai. Tidak perlu bimbang lagi, yang penting berdoa supaya tahanan sentiasa sihat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rizuan berkata, pihak penjara memberi lampu hijau kepada ahli keluarga terbabit untuk melawat tahanan itu tengah hari semalam.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 11:21am
d