mutakhir

Anggerik semurah RM8

Oleh Zanariah Abd Mutalib

Putrajaya: FLORIA Diraja Putrajaya 2018 bukan saja mempamerkan kepelbagaian bunga berwarna-warni dalam reka bentuk landskap yang indah, tetapi juga boleh didapati di gerai jualan tapak festival.

Orkid adalah salah satu bunga yang menjadi tumpuan pengunjung FLORIA di Anjung Floria, Presint 4 yang masuk hari kedua, semalam.

Beberapa gerai orkid di tapak festival itu menjadi tumpuan orang ramai yang mahu membeli dan melihat kepelbagaian bunga berkenaan serta spesies baharu yang ada.

Pengurus United Malaysian Orchids Sdn Bhd, Eric Kok berkata, hampir 300 spesis ditawarkan di gerai jualannya, antaranya spesies untuk landskap yang kerap berbunga, untuk ditanam di dalam rumah dan orkid hutan.

“Kita menawarkan benih orkid dari harga serendah RM8 sehingga spesies orkid eksotik yang berharga RM150.

“Selain itu, kita juga menjual baja khusus untuk orkid dan medium untuk menanam seperti arang, batu-bata, habuk kayu dan rumpai laut,” katanya ketika ditemui di FLORIA Diraja Putrajaya 2018 di sini, semalam.

Eric yang mengusahakan tanaman orkid sejak 29 tahun lalu berkata, pelbagai faktor yang diambil kira pelanggan ketika membeli orkid mengikut minat masing-masing.

“Ada yang mahukan orkid besar dan menyerlah, ada mahu yang wangi, ada mahu yang kecil dan ada juga yang mahukan orkid hutan kerana daunnya.

“Selain itu, pengunjung juga sering bertanyakan tip dan teknik penjagaan orkid dan kita akan berkongsi ilmu dengan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 11:28am
d