mutakhir

Petai 50 sen je sepapan...

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

SEBANYAK empat hingga lima ribu papan petai habis terjual dalam tempoh tiga jam berhampiran Pasar Awam (Market BM) Bukit Mertajam, sejak ianya mula dijual dua bulan lalu.

Petai berkenaan yang dijual seawal 8 hingga 11 pagi menjadi tumpuan di kawasan itu apabila peniaga mengenakan harga bermula 50 sen sepapan dan jika pelanggan membeli dengan kuantiti sebanyak 100 papan, hanya dikenakan RM45.

Penjualnya, Mohd Zaini Mohd Nawawi, 35, berkata, dia hanya akan menjual petai berkenaan apabila restoran yang diusahakannya di Permatang Pauh, tidak beroperasi pada Isnin atau cuti umum.

Dia berkata, belum sempat dia dan isterinya, Mazlina Md Zain, 33, menyusun atur petai untuk dijual, pelanggan sudah mula menghampiri dan berebut-rebut memilih petai jualan mereka.

"Memang tidak disangka jualan petai ini mendapat sambutan hangat daripada pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk sekitar kawasan ini.

"Bekalan petai ini dibawa dari ladang Yala, Thailand dan kami menjual petai padi dan papan. Ada ada juga petai gajah, namun ianya jarang dan sukar diperoleh," katanya ketika ditemui.

Mohd Zaini berkata, petai yang dijualnya adalah yang berkualiti apabila kebanyakannya mempunyai lebih berbelas ulas, selain ulasnya yang cantik, tidak rosak dan tidak berulat.

"Setiap pelanggan yang datang dapat memilih sendiri petai yang mereka inginkan dan cara sebegini sudah tentu memberikan mereka kepuasan dalam membeli.

"Selain mengenakan harga yang berpatutan dan berikan kualiti yang baik, kami turut tumpang gembira kerana dapat memuaskan hati pelanggan," katanya.

Sementara itu, pelanggan, Siti Fatimah Mohd Dali, 43, berkata, dia amat berpuas hati membeli petai yang dijual suami isteri itu kerana harganya murah dan berkualiti berbanding tempat lain.

"Di tempat lain harga agak mahal apabila ada yang menjual tiga papan dengan harga RM5, namun saya puas hati sangat membeli di sini.

"Walaupun murah, ulasnya banyak dan berisi dan sudah pasti akan mendapatkannya lagi kerana seisi keluarga saya adalah penggemar petai," katanya yang tinggal di Taman Desa Damai dekat sini.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 12:47pm
d