mutakhir

'Tangani isu Rohingya, elak direkrut Daish'

Oleh Nor Azizah Mokhtar

ISU pelarian Rohingya perlu ditangani segera kerana mereka berpotensi direkrut sebagai pejuang pengganas Daish, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, perkara itu wajar diberi perhatian kerana kumpulan itu dilihat berada dalam situasi amat terdesak akibat tekanan di Rakhine.

Katanya, isu berkenaan amat penting di Asia Tenggara dengan lebih 100,000 pelarian Rohingya berlindung di negara ini.

Menurutnya, sebahagian besar lagi berada di Bangladesh dan beberapa negara lain.

“Kita mahu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan lebih hebat kerana kita bimbang perkara itu akan mendorong mereka (pelarian Rohingya) terpengaruh dengan ideologi jihad oleh Daish.

"'Mengambil contoh tekanan dihadapi penduduk Palestin oleh Israel, rakyatnya menggunakan pelbagai cara untuk melawan semula termasuk ada yang mengambil jalan menjadi pejuang berani mati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Keselamatan ASEAN Persatuan Antarabangsa Bagi Menangani Keganasan dan Keselamatan Profesional (IACSP), di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad berkata, apa yang berlaku ke atas rakyat Palestin boleh berlaku ke atas pelarian Rohingya kerana ada kalangan mereka sudah berputus asa dan melihat tiada jalan lain selain berjihad dengan cara Daish.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mengusir empat individu terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh yang merancang melakukan serangan di Rakhine, Myanmar, pada 2015.

“Berdasarkan risikan dan maklumat kita membuat tangkapan di negara ini sebelum mengusir mereka pulang ke negara masing-masing," katanya yang hadir sebagai panel pada simposium dua hari itu.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 12:54pm
d