mutakhir

Siapa Mohd Ali Harun?

Oleh Ahmad Ismail

PENEMUAN beg galas tertera nama pemilik membongkar cubaan menipu sekumpulan tiga lelaki warga Myanmar yang baru selesai memecah masuk rumah di Kampung Paya Merah, Labis, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian 5 pagi itu, sepasukan sembilan anggota Balai Polis Labis melakukan rondaan cegah jenayah di Kampung Paya Merah sebelum melihat tiga lelaki memecah masuk rumah melalui tingkap belakang.

Beliau berkata, pasukan berkenaan mengepung rumah itu dan memerhatikan kejadian sebelum tiga lelaki keluar dari menggunakan tingkap sama.

Katanya, berikutan itu anggota bertugas menahan suspek berusia 51, 43 dan 34 tahun dan melakukan pemeriksaan.

“Apabila disoal, lelaki berusia 51 tahun itu mendakwa mereka bertiga tinggal di rumah berkenaan.

“Bagaimanapun, apabila disoal siapakah 'Mohd Ali Harun' iaitu nama tertera di bahagian hadapan beg galas berkenaan, mereka gagal menjawabnya sebelum siasatan mendapati ia milik tuan rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan pada tubuh mereka mendapati, ketiga-tiga suspek tiada dokumen perjalanan sah dan mereka mendakwa masih mencari kerja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Segamat, Asisten Superintendan Mohd Sharil Abu Bakar dan Ketua Polis Balai Labis, Inspektor Chan Kok Chuan.

Raub berkata, hasil pemeriksaan ke atas beg itu membawa kepada penemuan seutas tasbih, wang tunai RM1,065, tiga bentuk cincin dan anting-anting suasa, dua pemutar skru, tiga pen tanpa jenama, lima telefon bimbit berjenama Nokia, Samsung Galaxy J7 dan Oppo dipercayai milik penghuni rumah itu.

“Kami dapati, ketika kejadian mangsa yang juga seorang lelaki berusia 56 tahun tiada di rumah kerana pulang ke Kedah.

“Penduduk dinasihatkan supaya memaklumkan kepada polis dengan mengisi borang keluar kawasan sekiranya ingin meninggalkan rumah pada musim perayaan bagi membolehkan kami memantau dan melakukan rondaan berkala serta mengejut.

“Program ini dijalankan sejak sekian lama bertujuan memudahkan polis mengumpul maklumat dan memberi tumpuan rondaan di kawasan berdasarkan jumlah penduduk pulang ke kampung.

“Borang boleh diperolehi di balai polis berhampiran atau hanya memaklumkan menerusi panggilan telefon di talian 07-9312222,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 6:08pm
d