mutakhir

'Lebih baik tak pulang'

Oleh Rosli Ilham

“JIKA pulang ke Lombok, pasti saya menangis lihat rumah sudah musnah...jadi lebih baik saya tak pulang dulu buat sementara waktu,” kata Salman Samsudin, 26, pekerja ladang Ketengah Jaya, Chukai yang berasal dari Lombok, Indonesia.

Salman antara penerima sumbangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) selepas kediamannya di Lombok musnah dalam kejadian gempa bumi, baru-baru ini.

Salman berkata, rumahnya di Lombok itu baru siap dibina enam bulan lalu melalui hasil tabungannya berjumlah RM25,000 yang dikumpul sepanjang bekerja di Malaysia.

“Saya berjaya siapkan rumah untuk isteri Yuniati Hayati, 25, berteduh bersama anak kami berusia dua tahun sejak enam bulan lalu.

“Tetapi gempa bumi yang berlaku pada 5 Ogos lalu itu meranapkan terus rumah saya,” katanya.

Salman antara 177 pekerja di ladang sawit milik KETENGAH di Bandar Seri Bandi yang menerima sumbangan disampaikan Pengurus Besar KETENGAH, Omar Ismail.

Salman berkata, kejadian malang itu turut mengorbankan bapa saudaranya dikenali sebagai Murimin, 78, akibat tertindih runtuhan, tetapi pada masa sama dia bersyukur kerana isteri dan anaknya selamat.

Sementara itu, Omar berkata, seramai 111 pekerja warga Lombok bekerja di ladang Ketengah Jaya, Seri Bandi manakala 66 lagi di ladang Ketengah Perwira.

“Kami menyerahkan RM500 seorang kepada mereka membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM88,500.

“Sebagai majikan prihatin, kami terpanggil untuk membantu mereka dengan bantuan sebanyak itu sedikit sebanyak dapat meringankan penderitaan mereka,” katanya.

Kejadian gempa bumi baru-baru ini adalah paling kuat pernah melanda Lombok dan mengorbankan hampir 500 orang termasuk seorang rakyat Malaysia.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 7:00pm
d