mutakhir

Leftenan Komander APMM ditahan SPRM

Oleh Fitri Nizam

PEGAWAI kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpangkat Leftenan Komander ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram, hari ini.

Pegawai berusia 37 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pasir Puteh, Kelantan, pada 11 pagi hari ini.

Menurut sumber, suspek yang bertugas sebagai pegawai pemerintah di kapal APMM itu dipercayai menerima rasuah bernilai antara RM4,000 hingga RM9,000 daripada pengusaha kapal sejak 2016 hingga 2017.

Katanya, siasatan awal mendapati pemberian wang berkenaan sebagai balasan bagi melepaskan bot nelayan asing ditahan APMM atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

“Berdasarkan siasatan, wang berkenaan dipercayai dimasukkan ke akaun bank milik individu lain yang berkaitan dengan suspek.

“Tindakan itu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Selain itu, pegawai berkenaan dipercayai terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram hasil daripada suapan diberikan, namun siasatan lanjut masih dijalankan SPRM,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan permohonan reman akan dijalankan terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kemaman, pagi esok.

“Dua kertas siasatan dibuka terhadap suspek iaitu mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 200),” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 7:23pm
d