mutakhir

Susur jalan utama PJ ditutup sementara

Oleh Syalikha Sazili

PENUTUPAN sementara susur keluar ke dua jalan utama di sekitar Petaling Jaya membabitkan Jalan P Narayanan (Jalan 222) dan Jalan Templer akan dilakukan bagi memberi laluan kepada kerja penaiktarafan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR), pihaknya berkata laluan susur keluar dari Lebuhraya Persekutuan menghala ke jalan terbabitakan ditutup kepada semua kenderaan pada 27 hingga 29 Ogos 2018 dan 1 hingga 8 September 2018 bermula 11 malam sehingga 5 pagi.

Katanya kerja pemasangan rasuk dan kerangka keluli bagi jambatan motosikal merentasi Jalan Templer, Petaling Jaya bagi tujuan menaiktaraf kawasan banjir lorong motosikal.

"Sehubungan itu, susur keluar masuk ini akan ditutup kepada semua lalu lintas bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Papan tanda pemberitahuan akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna jalan raya.

"Pengawal bendera juga akan sentiasa berada di tapak untuk tujuan kawalan trafik," katanya.

Sepanjang tempoh kerja pemasangan berlangsung, terdapat dua situasi penutupan yang akan dijalankan.

"Bagi situasi satu, membabitkan penutupan susur keluar dari Lebuhraya Persekutuan ke Jalan Templer, Jalan P Narayanan dan Jalan 222.

"Pengguna jalan raya dari arah Kuala Lumpur diminta menggunakan laluan alternatif dengan mengambil susur keluar Jalan Timur dan melalui Jalan Selangor atau Jalan Sultan untuk memasuki Jalan Templer.

"Manakala bagi situasi dua pula membabitkan penutupan susur masuk ke Lebuhraya Persekutuan dari Jalan Templer, Jalan P Narayanan dan Jalan 222. Pengguna jalan raya yang akan menghala ke arah Klang diminta memasuki Lebuhraya Persekutuan melalui Jalan Barat," katanya.

JKR menasihatkan supaya semua pengguna jalan raya mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan.

Untuk maklumat lanjut, boleh berhubung dengan Pejabat JKR Daerah Petaling, Selangor di talian 03-78392584, fax 03-7839 2403.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 9:29pm
d