mutakhir

PRK Seri Setia: Jangan tipu rakyat

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) diingatkan tidak mempermainkan emosi rakyat berhubung pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau kini dikenali Bantuan Sara Hidup (BSH).

Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Dr Halimah Ali berkata, PH perlu berpegang pada prinsip dengan mengotakan janji kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Katanya, apatah lagi bantuan kewangan itu amat mendesak bagi membantu rakyat yang memerlukan.

“Sebelum PRU-14 macam-macam dijanjikan. Yang manis-manis dan sebagainya, hingga dikatakan kalau rakyat tak undi, sebab tak ada BR1M.

“Bila jadi kerajaan tiba-tiba kata tidak payah (hapuskan BR1M). Macam-macam alasan.

“Sebab itu apa yang mahu diutarakan oleh PAS adalah budaya politik matang dan sejahtera bukan persepsi, emosi dan sensasi.

“Kita lihat apa keperluan mendesak rakyat. Apa yang paling penting daripada yang penting, diutamakan dulu,” katanya selepas berkempen di pasar malam Kampung Lindungan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah kerajaan untuk mengurangkan BR1M secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya kepada rakyat.

Sementara itu, tanpa merujuk kepada mana-mana individu, Dr Halimah sebelum ini ada pihak mengaitkan BR1M sebagai rasuah kepada rakyat.

“Apabila pilihan raya semakin dekat, dikatakan akan disambung. Lepas dapat kerajaan macam-macam alasan.

“Kita tidak boleh memainkan emosi rakyat. Sama juga di Selangor, kalau orang miskin, kena bagi zakat, bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan sebagainya.

“Namakan apapun, Peduli Rakyat atau BR1M, kena ikut dan kaji betul-betul berdasarkan kes.Bukan semuanya dipolitikkan,” katanya.

Mengekalkan BR1M kepada golongan B40 adalah antara 14 janji utama dalam manifesto PH yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun jika memenangi PRU-14.

Dalam pada itu, mengulas kempennya setakat ini, Dr Halimah membahagikan kawasan kepada empat zon.

“Saya memang sudah pergi ke semua zon, cuma belum secara terperinci.

“Pertama kali mungkin tidak semua orang ada. Jadi ini kali kedua saya datang ke sini,” katanya.

Menurutnya, walaupun bukan anak tempatan, beliau bersyukur dikenali ramai berikutan pernah menjadi EXCO Pendidikan Selangor.

“Nak kata terlalu asing, Alhamdulillah ramai yang mengenali saya,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 11:30pm
d