mutakhir

'Tak sempat menyusup masuk'

Oleh Noorazura Abdul Rahman

CUBAAN empat lelaki warga Myanmar cuba menyusup masuk ke negara ini, gagal selepas dikesan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhampiran Pos 1 Bukit Kayu Hitam di Bukit Kayu Hitam, semalam.

Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, empat warga asing berusia 23 hingga 31 tahun itu ditahan pasukan Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) ketika melakukan rondaan pada jam 6.30 pagi.

“Semasa rondaan, pasukan mengesan pergerakan sekumpulan lelaki dari arah sempadan. Curiga dengan pergerakan itu, pasukan membuat serang hendap sebelum menahan warga asing terbabit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pasukan turut merampas beg pakaian yang mengandungi barang keperluan persendirian.

Katanya, warga asing itu kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) sebelum diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

“ATM komited untuk terus meningkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang aktiviti penyeludup dan kemasukan warga asing secara haram ke negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 11:36am
d